Wednesday, April 11, 2012
Puteri Saadong
Sunday, October 3, 2010
Puteri Saadong
Maka, berlangsunglah istiadat perkahwinan Puteri Saadong dan Raja Abdullah di Gunung Chinta Wangsa dengan penuh kemeriahan dan temasya yang berlangsung berpuluh-puluh hari lamanya. Kemeriahan itu disambut indah dan penuh takzim oleh sekelian rakyat jelata yang merupakan satu anugerah yang penuh rahmat bagi seluruh Kerajaan Tanah Serendah Sekebun Bunga serta juga Kerajaan Jembal. Semua hamba rakyat juga dapat melihat akan Puteri Saadong yang bakal mewarisi pemerintahan bondanya, Chik Siti Wan Kembang menjadi seorang pemerintah yang adil dan saksama dan moga Kerajaan Tanah Serendah Sekebun Bunga terus kekal sebagai sebuah kerajaan yang agung, aman dan sentosa. Namun itu hanyalah satu tanggapan...sesungguhnya mereka terlupa tentang seseorang yang sedang memendam perasaan....
Setelah berberapa ketika selepas perkahwinan antara Puteri Saadong dan Raja Abdullah, Paduka Chik Siti mengambil keputusan untuk terus menyerahkan takhta yang sekelian lamanya baginda duduki, diambil alih oleh puteri kesayangannya itu. Setelah selesai istiadat pertabalan Puteri Saadong dan Raja Abdullah sebagai pemerintah Kerajaan Tanah Serendah Sekebun Bunga yang baru, baginda berdua berpendapat untuk membuka pusat pemerintahan yang baru dan mereka melihat sebuah tempat yang terletak di hilir negeri Kelantan sebuah tempat yang sesuai. Dan kota yang baru ini dinamakan Kota Jelasin, namun bagi Paduka Chik Siti, baginda mahu terus menetap di Gunung Chinta Wangsa kerana baginya, disitulah tempat yang lebih sesuai bagi dirinya. Disini baginda mahu mengasingkan diri, mengambil peluang ini untuk mendekatkan diri dengan amal ibadat kepada Allah Taala. Dan disinilah, Paduka Chik Siti yang ketika itu telah menjangkau usia senjanya, telah jatuh gering dan setelah berberapa lama, Paduka Chik Siti pun mangkat, menjadi satu berita yang amat menyedihkan bagi seluruh negeri Kelantan: sesungguhnya mereka kehilangan seorang pemerintah yang sangat sukar untuk dicari ganti. Dikatakan baginda telah dimakamkan di Kampung Banggol yang terletak tidak jauh dari Kota Bahru, ibu negeri Kelantan sekarang.
Maka pemerintahan Puteri Saadong pun bermula dan baginda memang seorang pemerintah yang seperti yang diharapkan oleh sekelian rakyat Kelantan. Dengan sebolehnya, baginda meneruskan sifat dan ciri almarhum bondanya, Paduka Chik Siti; seorang pemerintah yang adil dan saksama. Namun, keamanan itu bakal berakhir tidak lama lagi...
Raja Siam yang pernah kecewa akibat gagal memiliki Puteri Saadong, kini amat murka apabila menerima khabar bahawa puteri idamannya itu kini dimiliki oleh Raja Abdullah. Dan kemarahan itu tidak berakhir disitu. Raja Siam telah membentuk sebuah angkatan tentera yang besar untuk menyerang negeri Kelantan dan satu tujuan yang nyata, iaitu memiliki Puteri Saadong! Padanya, puteri itu hanya layak untuk dimiliki olehnya, bukan lelaki lain. Berita akan serangan yang bakal berlaku itu sampai ke pengetahuan Raja Abdullah dan baginda mengambil keputusan untuk meninggalkan Kota Jelasin dan menuju ke daerah Melor dan disini baginda membuka penempatan yang baru dinamakan Kota Mahligai. Namun, apalah kudrat itu jika dibandingkan dengan keupayaan tentera Raja Siam yang besar dan terkenal dengan kehandalannya. Tindak tanduk Raja Abdullah dapat dihidu oleh Raja Siam dan Kota Mahligai telah diserang dengan dasyat. Kemusnahan dan kehancuran merebak dengan meluas, kematian berlaku dimana-mana.
Puteri Saadong yang melihat akan kehancuran kerajaannya itu berasa amat kecewa, tambahan pula baginda merasakan dirinya seaakan gagal untuk menjaga amanat dari paduka bondanya, Paduka Chik Siti. Baginda mahu melihat kemusnahan ini berhenti serta merta dan tidak mahu, kerana dirinya, Kerajaan tanah Serendah Sekebun Bunga yang menanggung akibat. Baginda tahu, satu keputusan segera perlu dibuat, meskipun itu bakal mengorbankan dirinya.
Biarlah dirinya dimiliki oleh Raja Siam, asalkan rakyat jelata tidak terus menerima akibat! Raja Abdullah amat kecewa dengan keputusan isterinya tetapi baginda juga sedar, itu adalah demi masa depan kerajaan dan rakyat jelata. Niat Raja Siam menyerang Kelantan cuma satu, iaitu memiliki Puteri Saadong, jadi, dari terus menerima azab, biarkanlah Raja Siam itu mendapat apa yang dihajatinya. Tapi sumpah dan janji Puteri Saadong pada suaminya, Raja Abdullah, walau apa pun, Raja Siam itu hanya mampu memiliki tubuhnya, tapi tidak cinta dan hatinya. Dan demi itu juga, Puteri Saadong juga berjanji, pada suatu hari nanti, Puteri Saadong akan tetap kembali kepada Raja Abdullah. Meskipun berat bagi Raja Abdullah, itulah satu-satunya jalan yang terbaik....
Sunday, September 26, 2010
Puteri Saadong
Demikianlah juga akan gambaran pemerintahnya, Chik Siti Wan Kembang, juga dikenali juga Paduka Chik Siti. Satu satunya Raja Perempuan yang sangat dikenali demi kewibawaan baginda, keadilan yang menjadi teras pemerintahannya, kebijaksaan serta keperwiraan baginda walaupun baginda adalah seorang wanita, menjadikan nama Paduka Chik Siti begitu gah dan melata tersebar akan kisahnya di serata rantau Nusantara, dan kerajaannya yang berpusat di Gunung Chinta Wangsa dipenuhi rakyat jelata yang tidak terkira banyaknya. Berikut kerana itu, terdapat cerita orang, pedagang-pedagang yang datang berdagang ke Kelantan, enggan untuk meninggalkan negeri itu, hingga sanggup menenggelamkan kapal masing-masing untuk dijadikan alasan supaya dapat terus kekal di Kelantan. Demikianlah diceritakan orang....
Sunday, July 11, 2010
Radin Mas
Friday, June 18, 2010
Radin Mas
Bersama Radin Mas yang masih kecil, Pangeran Agung menumpang sebuah kapal pedagang cina yang mana membawanya terus hingga ke Karimun, sebuah pulau yang berada dalam gugusan Kepulauan Riau, yang pada ketika itu berada dalam pemerintahan Empayar Johor Riau Lingga. Dan pada fikiran Pangeran Agung adalah baiknya jika kelak apabila Radin Mas besar nanti, dia tidak mengetahui akan asal usulnya, siapakah dia dan dari manakah asalnya. Elok lagi kalau Radin Mas tidak mengetahui yang dirinya berasal dari keturunan raja berdaulat kerana pada Pangeran Agung, kerana darah keturunan itulah, keluarganya hancur dan binasa. Biarlah mereka dua beranak mengasingkan diri disini dan untuk berapa lama mereka akan berada di Karimun? Tuhan saja yang Maha Mengetahui, dan biarlah Dia sahaja yang menentukan.
Hari berganti bulan, dan bulan berganti tahun. Hiduplah Pangeran Agung sebagai seorang nelayan biasa, kais pagi makan pagi, dan kais petang makannya petang. Bersama anaknya yang tercinta Radin Mas yang kini sudah pun berusia 15 tahun. Dia menjadi seorang gadis sunti yang cantik jelita, seakan-akan ibunya Mas Ayu. Radin Mas cukup manja dengan ayahnya sementelah, Radin Mas tidak pernah merasai kasih sayangnya seorang ibu. Namun keadaan hidup mereka yang sederhana, pada tanggapan Pangeran Agung amatlah tenang dan tenteram, jauh dari segala hasad dengki dan penganiayaan sebagaimana yang berlaku keatas mereka 15 tahun yang lalu.
Namun takdir mempunyai rancangan lain bagi Pangeran Agung dan Radin Mas yang bakal membawa mereka kembali kepada kehidupan yang telah mereka tinggalkan. Dan juga bakal menguji akan nilai kasih sayang antara ayah dan anak ini. Pada suatu hari, ketika Pangeran Agung telah pun pun ke laut untuk menangkap ikan, sementara Radin Mas megambil keputusan untuk memetik sedikit buah-buahan, boleh juga dibuat makanan tambahan bagi mereka berdua. Dan tanpa disedarinya, kakinya melangkah masuk ke dalam kawasan yang sepatutnya tidak dia jejaki. Kawasan itu adalah taman larangan istana Sultan Karimun dimana tidak jauh dari tempat Radin Mas berada, puteri kepada Sultan Karimun, Tengku Halijah sedang bermain-main dengan dayang-dayang pengiringnya. Melihatkan seorang gadis yang berpakaian lusuh sedang seorang diri memetik buah-buahan di taman itu, Tengku Halijah naik berang. Tercemar sudah akan keadaan taman tersebut dengan kehadiran gadis itu, pada fikirannya. Tanpa berfikir panjang, Tengku Halijah memanggil adinda lelakinya, Tengku Bagus serta berberapa orang pengawal menangkap Radin Mas! Radin Mas yang terpinga-pinga hanya dapat membatukan diri amat ketakutan dan terpaksa membiarkan lelaki-lelaki itu mengheret dirinya ke arah Tengku Halijah. Dan tanpa memberi peluang untuk Radin Mas membela diri diatas kesalahan yang tidak disedarinya itu, Radin Mas dipukul oleh Tengku Halijah bertalu-talu, hanya yang mampu dilakukan oleh Radin Mas, menangis dan merayu agar mereka berhenti dari memukulnya.
Namun kejadian yang kejam itu disaksikan oleh seseorang dari arah pantai, dimana seorang lelaki berpakaian seorang pahlawan serta pengiringnya yang baru melabuhkan perahunya di pantai. Lantas setelah mengamati akan seorang gadis lemah sedang diseksa, lelaki itu-Dandiar menghampiri dan lantas dengan lantang mengarahkan akan diberhentikan akan kekejaman itu. Dandiar amat berang dengan apa yang berlaku dihadapan mata, tambahan pula yang melakukannya adalah orang-orang dari kerabat diraja, Dandiar mengambil keputusan untuk membawa perkara itu kepada Sultan Karimun.
Suasana di balai penghadapan istana Karimun menjadi tegang apabila Dandiar menuntut agar keadilan dapat dibela terhadap apa yang berlaku keatas gadis lemah itu. Namun, Dandiar terdiam sebaik muncul seorang lelaki diistana yang mengaku dia adalah ayah kepada gadis yang dianiaya itu. Seorang lelaki yang amat dikenalinya, yang dicari-carinya sejak 15 tahun yang lalu namun sebaik sahaja pandangan mata mereka bertaut lelaki itu memalingkan wajah. Lantas Dandiar meluru ke kaki lelaki itu-Pangeran Agung dan menyembahnya penuh takzim, sambil bercucuran air mata. Sultan Karimun yang menyaksikan kejadian itu didepan mata, terperanjat. Baginda yang tahu tentang kisah seorang putera Kediri yang menghilangkan diri dan kini putera yang diceritakan orang itu berada dihadapannya dengan keadaan lusuh dan tidak terurus. Diburu rasa bersalah dan malu dengan tindakan anakandanya, Tengku Halijah terhadap Radin Mas, lantas baginda mengambil keputusan untuk menebus akan kesalahan itu. Tengku Halijah sebagai tukarannya, menjadi ditawarkan isteri kepada Pangeran Agung!
Pangeran Agung mendiamkan diri. Nampaknya kehidupan sebagai kerabat diraja, yang telah ditinggalkan 15 tahun masih lagi memburunya dan menuntutnya kembali. Tapi apa yang terbayang didepan matanya hanyalah anaknya yang amat dikasihi, Radin Mas. Sebaliknya Radin Mas meminta agar ayahnya menerima akan Tengku Halijah, mengenangkan Pangeran Agung telah lama hidup tanpa isteri dan dirinya sendiri yang melihat peluang itu untuk merasai kasihnya seorang ibu. Mendengarkan akan permintaan anaknya itu, namun dengan berat hati, Pangeran Agung menerima pelawaan Sultan Karimun. Dandiar berpuas hati dengan pelawaan Sultan Karimun dan meminta baginda berjanji untuk menjaga akan Pangeran Agung dan Radin Mas yang amat disanjunginya itu, tambahan pula Dandiar bakal meninggalkan Pulau Karimun.
Janji hanya tinggal janji. Setelah berberapa lama selepas perkahwinan antara Pangeran Agung dan Tengku Halijah, lahirlah seorang bayi lelaki menjadi tanda penyatuan antara mereka berdua dan bayi itu dipanggil Tengku Chik. Tapi, bagi Pangeran Agung, Radin Mas lebih disayangi kerana mengenangkan apa yang terjadi keatas mereka berdua dulu dan Radi Maslah yang satu-satunya tanda cintanya yang masih ada, antara dirinya dan Mas Ayu. Malah, mengatasi akan isterinya sendiri Tengku Halijah. Dan ini, membuahkan cemburu yang membara dihati Tengku Halijah, sebagai seorang isteri yang sepatutnya mendapat perhatian yang sepatutnya dari suami, tapi tidak bagi Pangeran Agung. Dan cemburu ini berubah menjadi racun yang berbisa!
Thursday, June 17, 2010
Radin Mas
"Kulo (aku) bersumpah, kulo tidak akan kembali ke Kediri lagi, dan kulo haramkan pasir yang melekat dikaki mengikut kulo...."

