Sunday, October 3, 2010

Puteri Saadong

~Bahagian Dua~


Maka, berlangsunglah istiadat perkahwinan Puteri Saadong dan Raja Abdullah di Gunung Chinta Wangsa dengan penuh kemeriahan dan temasya yang berlangsung berpuluh-puluh hari lamanya. Kemeriahan itu disambut indah dan penuh takzim oleh sekelian rakyat jelata yang merupakan satu anugerah yang penuh rahmat bagi seluruh Kerajaan Tanah Serendah Sekebun Bunga serta juga Kerajaan Jembal. Semua hamba rakyat juga dapat melihat akan Puteri Saadong yang bakal mewarisi pemerintahan bondanya, Chik Siti Wan Kembang menjadi seorang pemerintah yang adil dan saksama dan moga Kerajaan Tanah Serendah Sekebun Bunga terus kekal sebagai sebuah kerajaan yang agung, aman dan sentosa. Namun itu hanyalah satu tanggapan...sesungguhnya mereka terlupa tentang seseorang yang sedang memendam perasaan....

Setelah berberapa ketika selepas perkahwinan antara Puteri Saadong dan Raja Abdullah, Paduka Chik Siti mengambil keputusan untuk terus menyerahkan takhta yang sekelian lamanya baginda duduki, diambil alih oleh puteri kesayangannya itu. Setelah selesai istiadat pertabalan Puteri Saadong dan Raja Abdullah sebagai pemerintah Kerajaan Tanah Serendah Sekebun Bunga yang baru, baginda berdua berpendapat untuk membuka pusat pemerintahan yang baru dan mereka melihat sebuah tempat yang terletak di hilir negeri Kelantan sebuah tempat yang sesuai. Dan kota yang baru ini dinamakan Kota Jelasin, namun bagi Paduka Chik Siti, baginda mahu terus menetap di Gunung Chinta Wangsa kerana baginya, disitulah tempat yang lebih sesuai bagi dirinya. Disini baginda mahu mengasingkan diri, mengambil peluang ini untuk mendekatkan diri dengan amal ibadat kepada Allah Taala. Dan disinilah, Paduka Chik Siti yang ketika itu telah menjangkau usia senjanya, telah jatuh gering dan setelah berberapa lama, Paduka Chik Siti pun mangkat, menjadi satu berita yang amat menyedihkan bagi seluruh negeri Kelantan: sesungguhnya mereka kehilangan seorang pemerintah yang sangat sukar untuk dicari ganti. Dikatakan baginda telah dimakamkan di Kampung Banggol yang terletak tidak jauh dari Kota Bahru, ibu negeri Kelantan sekarang.

Maka pemerintahan Puteri Saadong pun bermula dan baginda memang seorang pemerintah yang seperti yang diharapkan oleh sekelian rakyat Kelantan. Dengan sebolehnya, baginda meneruskan sifat dan ciri almarhum bondanya, Paduka Chik Siti; seorang pemerintah yang adil dan saksama. Namun, keamanan itu bakal berakhir tidak lama lagi...

Raja Siam yang pernah kecewa akibat gagal memiliki Puteri Saadong, kini amat murka apabila menerima khabar bahawa puteri idamannya itu kini dimiliki oleh Raja Abdullah. Dan kemarahan itu tidak berakhir disitu. Raja Siam telah membentuk sebuah angkatan tentera yang besar untuk menyerang negeri Kelantan dan satu tujuan yang nyata, iaitu memiliki Puteri Saadong! Padanya, puteri itu hanya layak untuk dimiliki olehnya, bukan lelaki lain. Berita akan serangan yang bakal berlaku itu sampai ke pengetahuan Raja Abdullah dan baginda mengambil keputusan untuk meninggalkan Kota Jelasin dan menuju ke daerah Melor dan disini baginda membuka penempatan yang baru dinamakan Kota Mahligai. Namun, apalah kudrat itu jika dibandingkan dengan keupayaan tentera Raja Siam yang besar dan terkenal dengan kehandalannya. Tindak tanduk Raja Abdullah dapat dihidu oleh Raja Siam dan Kota Mahligai telah diserang dengan dasyat. Kemusnahan dan kehancuran merebak dengan meluas, kematian berlaku dimana-mana.

Puteri Saadong yang melihat akan kehancuran kerajaannya itu berasa amat kecewa, tambahan pula baginda merasakan dirinya seaakan gagal untuk menjaga amanat dari paduka bondanya, Paduka Chik Siti. Baginda mahu melihat kemusnahan ini berhenti serta merta dan tidak mahu, kerana dirinya, Kerajaan tanah Serendah Sekebun Bunga yang menanggung akibat. Baginda tahu, satu keputusan segera perlu dibuat, meskipun itu bakal mengorbankan dirinya.

Biarlah dirinya dimiliki oleh Raja Siam, asalkan rakyat jelata tidak terus menerima akibat! Raja Abdullah amat kecewa dengan keputusan isterinya tetapi baginda juga sedar, itu adalah demi masa depan kerajaan dan rakyat jelata. Niat Raja Siam menyerang Kelantan cuma satu, iaitu memiliki Puteri Saadong, jadi, dari terus menerima azab, biarkanlah Raja Siam itu mendapat apa yang dihajatinya. Tapi sumpah dan janji Puteri Saadong pada suaminya, Raja Abdullah, walau apa pun, Raja Siam itu hanya mampu memiliki tubuhnya, tapi tidak cinta dan hatinya. Dan demi itu juga, Puteri Saadong juga berjanji, pada suatu hari nanti, Puteri Saadong akan tetap kembali kepada Raja Abdullah. Meskipun berat bagi Raja Abdullah, itulah satu-satunya jalan yang terbaik....

Sunday, September 26, 2010

Puteri Saadong

Gunung Chinta Wangsa yang kini dikenali sebagai
Gunung Ayam


~Bahagian Satu~

Berapa ramai antara kita yang mengetahui akan nama lama bagi negeri Kelantan Darul Naim? Pernahkah anda mendengar Kerajaan Tanah Serendah Sekebun Bunga Cerang Tegayong? Nama yang menggambarkan akan sebuah kerajaan yang terlalu indah, dikelilingi gunung dan banjaran, serta kawasan lembah yang dipenuhi bunga-bungaan yang pelbagai bentuk dan rupa. Cerang Tegayong pula memberi makna cahaya yang menyimbahi di celahan dedauan pohon tegayong. Begitulah keindahan yang digambarkan melalui nama lama itu
Demikianlah juga akan gambaran pemerintahnya, Chik Siti Wan Kembang, juga dikenali juga Paduka Chik Siti. Satu satunya Raja Perempuan yang sangat dikenali demi kewibawaan baginda, keadilan yang menjadi teras pemerintahannya, kebijaksaan serta keperwiraan baginda walaupun baginda adalah seorang wanita, menjadikan nama Paduka Chik Siti begitu gah dan melata tersebar akan kisahnya di serata rantau Nusantara, dan kerajaannya yang berpusat di Gunung Chinta Wangsa dipenuhi rakyat jelata yang tidak terkira banyaknya. Berikut kerana itu, terdapat cerita orang, pedagang-pedagang yang datang berdagang ke Kelantan, enggan untuk meninggalkan negeri itu, hingga sanggup menenggelamkan kapal masing-masing untuk dijadikan alasan supaya dapat terus kekal di Kelantan. Demikianlah diceritakan orang....


Tersebut pula akan sebuah kerajaan yang berjiran dengan Tanah Serendah Sekebun Bunga itu, bernama Jembal, terletak di bahagian timur lautnya. Yang mana pada ketika itu dalam tahun 1638 Masehi, Raja Besar telah menyerahkan takhta kepada anakandanya, Raja Sakti dan Raja Sakti dikurniakan tujuh orang putera-puteri, iaitu Raja Adiluddin (yang lebih dikenali dengan nama Raja Loyar), Raja Bahar (Raja Udang), Raja Omar (Raja Ekok), Raja Sungai, Puteri Sayu Bari, Puteri Unang Melor (nama timang-timangannya Nang Rogayah) dan Puteri Cempaka Bongsu. Mengikut buku Abdullah Nakula, Raja Sakti terkenal dengan panggilan Raja Vijaya Indera atau Long Betong.


Setelah Raja Sakti merasa dirinya sudah tua dan putera-puteri baginda meningkat dewasa Raja Sakti telah menyerahkan pentadbiran negeri kepada mereka semua. Pada tahun 1649 M, Raja Loyar ditabalkan sebagai raja yang memerintah kerajaan Jembal. Raja Bahar dilantik sebagai Bendahara, Raja Omar sebagai Raja Muda dan Raja Sungai sebagai Raja Temenggung. Setelah menyerah semua pemerintahan Kerajaan Jembal, maka baginda Raja Sakti pun mengadakan "Istiadat Bersiram" di pinggir Sungai Babong, yang mana keramaiannya berlangsung selama 7 hari 7 malam, setelah sampai malam ke-7 maka baginda Raja Sakti dan Puteri Mani Kemeyan pun "ghaib" dan tidak diketahui riwayatnya sehingga hari ini. Raja Loyar sangat dikasihi oleh semua lapisan rakyat jelata dan para pembesar negeri. Sikap baginda sangat luar biasa, lemah lembut, halus tutur kata dan bersopan santun. Mengikut kepercayaan, pada diri baginda terdapat sifat-sifat ganjil yang kononnya baginda berdarah putih, tulang tunggal, bulu roma songsang, lelangit hitam, lidah fasih dan air liur masin. Pendek kata apa yang dihajati semuanya dapat kerana baginda adalah seorang yang "keramat".


Hubungan baik terjalin antara kerajaan Jembal dan Kelantan sementelah Kelantan sebuah kerajaan yang gagah perkasa. Perutusan senantiasa bertukar tangan demi perhubungan yang baik itu hinggalah dibawah pemerintahan Raja Loyar yang menggantikan ayahandanya. Raja Loyar telah dikurniakan dua cahaya mata yang mana, seorang lelaki dinamakan Raja Sakti, demi mengenangkan nendanya tapi malang telah mangkat ketika masih kecil, dan kedua pula seorang perempuan dinamakan Puteri Mariam, yang mana lebih dikenali sebagai Puteri Saadong. Paduka Chik Siti yang amat tertarik dengan perilaku dan rupa Puteri Saadong itu telah berhasrat untuk mengambil Puteri Saadong sebagai anak angkatnya dan juga bakal pewaris takhta, kerana Paduka Chik Siti itu tidaklah bersuami dan tidak mempunyai sebarang anak . Hasrat itu disuarakan kepada Raja Loyar dan seakan seribu rahmat, hajat Paduka Chik Siti diperkenankan oleh Raja Loyar. Puteri Saadong dan Paduka Chik Siti pun berangkat pulang ke Gunung Chinta Wangsa dan bersemayam disana. Sebagai tanda kasih sayang seorang ibu, Paduka Chik Siti memerintahkan para pembesar dan hulubalang mendapatkan dua ekor kijang untuk dijadikan belaan dan teman permainan Puteri Saadong dan dari situlah menjadi lambang pada jata negeri Kelantan yang kekal hingga ke hari ini.


Puteri Saadong membesar, dididik dan diasuh dengan penuh limpahan kasih sayang dari bondanya dan sebagai bakal pewaris takhta. Selain dari itu kejelitaan rupa paras membawa kepadanya gelaran Puteri Wijaya Mala dan kerana itu jugalah nama Puteri Saadong sangat-sangat terkenal, seperti bondanya, Paduka Chik Siti. Kecantikan Puteri Saadong ini termasyhur ke seluruh negeri sehingga sampai ke pengetahuan Maharaja Siam iaitu Raja Prasat Thong yang memerintah di Ayudhia. Baginda telah menghantar utusan ke Jembal untuk meminang Puteri Saadong. Setelah Raja Loyar berbincang dengan Paduka Chik Siti, maka pinangan Raja Siam itu telah ditolak. Setelah rombongan Siam itu kembali, baginda Raja Loyar dan Cik Siti Wan Kembang berserta pembesar-pembesar telah bermesyuarat untuk mengahwinkan Puteri Saadong dengan sepupunya Raja Abdullah iaitu anakanda Raja Bahar.

Sunday, July 11, 2010

Radin Mas

~Bahagian 3~
Setelah berberapa lama, pusat pemerintahan Kesultanan Kerimun berpindah ke Singapura dan istana diraja terletak di Teluk Belangah. Sekelian kerabat diraja berangkat ke Singapura dan menetap disana. Keadaan yang diharapkan untuk bertambah elok diantara ahli keluarga diraja Kerimun sebenarnya tinggal harapan sementelah rasa cemburu yang semakin membara dihati Tengku Halijah, melihatkan keakraban antara Pangeran Agung dan Radin Mas. Tengku Halijah jauh sekali melihatkan Radin Mas sebagai anak yang berhak menerima kasih sayangnya sebaliknya tidak lebih dari seorang musuh yang perlu dimusnahkan segera! Ketiadaan Pangeran Agung yang sentiasa menerima titah Baginda Sultan menjadi peluang untuk Tengku Halijah menyeksa Radin Mas, melakukan kerja-kerja berat di istana, sama seperti hamba abdi. Sedarlah bagi Radin Mas, apa yang diharapkan olehnya untuk mendapat kasih sayang seorang ibu, tidak akan berlaku dan impian cuma akan tinggal impian. Namun bagi Radin Mas, kasih sayangnya pada Pangeran Agung itu lebih utama, dan sebarang apa yang dilakukan oleh Tengku Halijah padanya dipendamkan jauh disudut hati, kerana dia tahu, jika dikhabarkan pada Pangeran Agung akan melukakan hati ayahandanya yang telah terlalu lama hidup menderita sebelum ini. Seksaan demi seksaan bertambah apabila Tengku Bagus, adinda lelaki Tengku Halijah mengambil kesempatan mengganggunya.
Keadaan didalam keluarga diraja ini bertambah tegang apabila suatu hari Pangeran Agung pulang secara mengejut dari perantauan dan terkejut melihat keadaan yang sebenarnya. Dengan itu, Pangeran Agung naik berang dan marah apabila menyedari yang selama ini Tengku Halijah tidak lain hanyalah menyeksa Radin Mas. Pangeran Agung seperti orang yang hilang akal lantas mencabut keris yang tersisip dipinggang dengan niat hendak menikam Tengku Halijah. Dalam keadaan yang gawat itu, Tengku Chik yang masih kecil menerpa ke depan untuk menghalang Pengeran Agung lantas terluka tangannya akibat terkena keris Pangeran Agung. Tengku Halijah yang melihatkan akan tangan Tengku Chik yang terluka, lantas mengadu kepada Baginda Sultan mengatakan yang Pangeran Agung sudah hilang akalnya kerana sanggup melukakan anaknya sendiri. Baginda Sultan Kerimun terpaksa mengambil keputusan yang maha berat, menangkap Pangeran Agung dan atas alasan demi keselamatan kaum kerabat diraja yang lain, Sultan Kerimun mengurung Pangeran Agung didalam sebuah perigi buta yang tersembunyi dibelakang istana. Dan baginda juga menitahkan tindakannya itu dirahsiakan dari pengetahuan Radin Mas. Keadaan ini menjadikan Radin Mas berasa amat tertekan akibat dari sekasaan oleh ibu tirinya dan kehilangan ayahnya yang tidak diketahui hujung pangkalnya.
Tengku Halijah pula berpendapat bagi mengelakkan rahsia hitam itu terbongkar dikalangan rakyat jelata, ada eloknya Radin Mas dikahwinkan dengan Tengku Bagus, dengan ini segala tindakan dan perilaku Radin Mas akan mudah dikawal. Dan saranannya itu mendapat restu dari Baginda Sultan Kerimun. Betapa gundah dan sedih bagi Radin Mas. Dia hanya mampu untuk menerima keputusan itu memandangkan dirinya yang yatim piatu, tidak berhak untuk membela dirinya sendiri, sementelah kehilangan Pangeran Agung, satu-satunya tempat dirinya mengadu untung nasib dirinya.
Segala persiapan perkahwinan Radin Mas dan Tengku Bagus dilangsungkan. Keadaan di istana Teluk Belangah meriah tapi bagi Radin Mas, ini semua membuatkan lara hatinya bertambah-tambah. Sudah banyak kali dia cuba merayu dari Tengku Halijah dan Baginda Sultan agar diberitahu kemana hilangnya Pangeran Agung, ayahnya yang sangat dikasihi tetapi tidak diendahkan oleh Tengku Halijah dan Baginda Sultan. Namun, kemana hilangnya Pangeran Agung, dalam diam diketahui oleh Tengku Chik yang pada suatu hari bermain gasing dihalaman istana dan gasing tersebut memasuki pagar perigi buta tempat kurungan Pangeran Agung.
Maka, tibalah hari perkahwinan Radin Mas dan Tengku Bagus. Orang ramai memenuhi ruang istana dan ianya sungguh meriah dengan segala acara dan persembahan. Tatkala orang ramai sedang bersuka-sukaan dengan temasya yang berlangsung, Radin Mas hanya mampu menangisi akan nasib dirinya. Sedang dirinya disiapkan, didandan seperti seorang pengantin diraja, air matanya mengalir terus mengenangkan kehilangan Pangeran Agung entah kemana.
Dan suasana ini bakal menjadi bertambah gawat apabila Dandiar dan gerombolan pengikutnya tiba diistana Teluk Belangah apabila mendengarkan akan berita tentang pernikahan Radin Mas dan Tengku Bagus. Sangkaannya, ini tentulah hari yang bahagia bagi Pangeran Agung dan Radin Mas tetapi sebaik langkahnya menjejaki ke balai penghadapan istana, Dandiar menjadi berang apabila mengetahui Pangeran Agung tidak ada disitu. Masakan, pada hari perkahwinan Radin Mas, Pangeran Agung tidak menghadirkan diri dan ini pada sangkaan Dandiar ada sesuatu yang tidak kena. Ini terbukti apabila khadi yang bakal menikahkan Radin Mas bertanyakan akan wali bagi Radin Mas. Dandiar mula mengamuk dan mengugut untuk menghuru harakan istana teluk Belangah.
Tengku Chik yang melihat keadaan yang amat genting itu terus tampil kedepan dan memberitahu Dandiar akan dimanakah Pangeran Agung disembunyikan. Lantas Dandiar menitahkan pahlawan-pahlawan pengikutnya membawa keluar Pangeran Agung dari kurungan dan terperanjat melihatkan keadaan Pangeran Agung yang amat lemah seakan seperti tidak langsung diberi makan. Radin Mas menerpa kearah Pangeran Agung yang dipapah masuk ke balai penghadapan lantas memeluk dan mencium ayahnya yang sangat dirinduinya itu. Terlalu sedih akan dirinya melihat keadaan Pangeran Agung yang sudah amat lemah dan tidak bermaya itu.
Tengku Halijah yang melihat keadaan itu lantas bertindak hendak meninggalkan balai penghadapan namun Radin Mas menerpa kearah Tengku Halijah yang pada ketika itu sudah sampai ke muka tangga istana, menyembah dan merayu agar Tengku Halijah memohon ampun dari Pangeran Agung, memandangkan Pangeran Agung sudah amat nazak. Tapi, Tengku Halijah menolak Radin Mas lantas menyebabkan Radin Mas rebah di kaki tangga menyebabkan tertikam pacak sanggul yang terdapat dikepalanya! Namun itu tidak menghalang Tengku Halijah dari meneruskan niatnya tetapi dengan kuasa Allah Yang Maha Kuasa, sebaik kakinya mencecah tanah dihalaman istana, petir yang muncul tiba-tiba lantas memanah Tengku Halijah dan Tengku Halijah mangkat serta-merta. Sebaik sahaja berlaku kejadian itu, Pangeran Agung juga menghembuskan nafas yang terakhir di pangkuan Dandiar. Dandiar mula mengamuk, mengarahkan agar pengikutnya menyerang istana namun Tengku Bagus tampil kedepan untuk menentang akan tindakan Dandiar.
Tapi ternyata kudrat Tengku Bagus tidak setanding Dandiar seorang pahlawan terbilang dan gagah perkasa. Setelah berjaya membunuh Tengku Bagus, Dandiar mengambil keputusan untuk membunuh Baginda Sultan pula tetapi Tengku Chik terus menghalang akan Dandiar dan berkata, jika nendanya, Baginda Sultan dibunuh, kepada siapakah harus dia mengikut sementelah ayahandanya, Pangeran Agung dan bondanya Tengku Halijah telah pun mangkat, begitu juga dengan Radin Mas. Dandiar lantas diburu rasa simpati yang teramat sangat dan bersalah, dan juga mengenangkan Tengku Chik juga adalah zuriat keturunan Pangeran Agung, maka Dandiar memaksa Baginda Sultan untuk berjanji menjaga Tengku Chik sebaik-baik, serta juga berjanji untuk menjadikan Tengku Chik sebagai pewaris takhta. Dan Dandiar juga memaksa Baginda Sultan mengkebumikan Pangeran Agung serta Radin Mas, mengikut adat istiadat diraja. Maka dengan itu , Radin Mas dimakamkan secara besar-besaran disebuah tempat tidak jauh dari istana Teluk Belangah yang makamnya terus kekal hingga ke hari ini.
Demikianlah kisah sebuah pengorbanan kasih sayang seorang anak kepada ayahnya dan juga sebaliknya. Kasih ikhlas yang diuji pelbagai musibah dan petaka tapi terus kekal utuh hingga ke hari-hari terakhir mereka berdua, Pangeran Agung dan Radin Mas.

Friday, June 18, 2010

Radin Mas


~ Bahagian 2 ~
Kediri ditinggalkan jauh, jauh dari diri Pangeran Agung serta juga jauh dari hatinya. Apa yang berlaku keatas dirinya serta apa yang menimpa keluarganya, adalah sesuatu bala yang amat berat dan peritnya tidak tertanggung. Jadi, pada fikiran Pangeran Agung, jalan terbaik untuk menghilangkan rasa kecewa dan lara hatinya adalah dengan meninggalkan Kediri, tempat yang padanya tidak adalah neraka. Walau bagaimana sekali pun Dandiar, sahabat baiknya cuba menasihati Pangeran Agung, namun Pangeran Agung tetap berkeras untuk meninggalkan Kediri. Kemana hala tujunya masih belum tahu.

Bersama Radin Mas yang masih kecil, Pangeran Agung menumpang sebuah kapal pedagang cina yang mana membawanya terus hingga ke Karimun, sebuah pulau yang berada dalam gugusan Kepulauan Riau, yang pada ketika itu berada dalam pemerintahan Empayar Johor Riau Lingga. Dan pada fikiran Pangeran Agung adalah baiknya jika kelak apabila Radin Mas besar nanti, dia tidak mengetahui akan asal usulnya, siapakah dia dan dari manakah asalnya. Elok lagi kalau Radin Mas tidak mengetahui yang dirinya berasal dari keturunan raja berdaulat kerana pada Pangeran Agung, kerana darah keturunan itulah, keluarganya hancur dan binasa. Biarlah mereka dua beranak mengasingkan diri disini dan untuk berapa lama mereka akan berada di Karimun? Tuhan saja yang Maha Mengetahui, dan biarlah Dia sahaja yang menentukan.

Hari berganti bulan, dan bulan berganti tahun. Hiduplah Pangeran Agung sebagai seorang nelayan biasa, kais pagi makan pagi, dan kais petang makannya petang. Bersama anaknya yang tercinta Radin Mas yang kini sudah pun berusia 15 tahun. Dia menjadi seorang gadis sunti yang cantik jelita, seakan-akan ibunya Mas Ayu. Radin Mas cukup manja dengan ayahnya sementelah, Radin Mas tidak pernah merasai kasih sayangnya seorang ibu. Namun keadaan hidup mereka yang sederhana, pada tanggapan Pangeran Agung amatlah tenang dan tenteram, jauh dari segala hasad dengki dan penganiayaan sebagaimana yang berlaku keatas mereka 15 tahun yang lalu.

Namun takdir mempunyai rancangan lain bagi Pangeran Agung dan Radin Mas yang bakal membawa mereka kembali kepada kehidupan yang telah mereka tinggalkan. Dan juga bakal menguji akan nilai kasih sayang antara ayah dan anak ini. Pada suatu hari, ketika Pangeran Agung telah pun pun ke laut untuk menangkap ikan, sementara Radin Mas megambil keputusan untuk memetik sedikit buah-buahan, boleh juga dibuat makanan tambahan bagi mereka berdua. Dan tanpa disedarinya, kakinya melangkah masuk ke dalam kawasan yang sepatutnya tidak dia jejaki. Kawasan itu adalah taman larangan istana Sultan Karimun dimana tidak jauh dari tempat Radin Mas berada, puteri kepada Sultan Karimun, Tengku Halijah sedang bermain-main dengan dayang-dayang pengiringnya. Melihatkan seorang gadis yang berpakaian lusuh sedang seorang diri memetik buah-buahan di taman itu, Tengku Halijah naik berang. Tercemar sudah akan keadaan taman tersebut dengan kehadiran gadis itu, pada fikirannya. Tanpa berfikir panjang, Tengku Halijah memanggil adinda lelakinya, Tengku Bagus serta berberapa orang pengawal menangkap Radin Mas! Radin Mas yang terpinga-pinga hanya dapat membatukan diri amat ketakutan dan terpaksa membiarkan lelaki-lelaki itu mengheret dirinya ke arah Tengku Halijah. Dan tanpa memberi peluang untuk Radin Mas membela diri diatas kesalahan yang tidak disedarinya itu, Radin Mas dipukul oleh Tengku Halijah bertalu-talu, hanya yang mampu dilakukan oleh Radin Mas, menangis dan merayu agar mereka berhenti dari memukulnya.

Namun kejadian yang kejam itu disaksikan oleh seseorang dari arah pantai, dimana seorang lelaki berpakaian seorang pahlawan serta pengiringnya yang baru melabuhkan perahunya di pantai. Lantas setelah mengamati akan seorang gadis lemah sedang diseksa, lelaki itu-Dandiar menghampiri dan lantas dengan lantang mengarahkan akan diberhentikan akan kekejaman itu. Dandiar amat berang dengan apa yang berlaku dihadapan mata, tambahan pula yang melakukannya adalah orang-orang dari kerabat diraja, Dandiar mengambil keputusan untuk membawa perkara itu kepada Sultan Karimun.


Suasana di balai penghadapan istana Karimun menjadi tegang apabila Dandiar menuntut agar keadilan dapat dibela terhadap apa yang berlaku keatas gadis lemah itu. Namun, Dandiar terdiam sebaik muncul seorang lelaki diistana yang mengaku dia adalah ayah kepada gadis yang dianiaya itu. Seorang lelaki yang amat dikenalinya, yang dicari-carinya sejak 15 tahun yang lalu namun sebaik sahaja pandangan mata mereka bertaut lelaki itu memalingkan wajah. Lantas Dandiar meluru ke kaki lelaki itu-Pangeran Agung dan menyembahnya penuh takzim, sambil bercucuran air mata. Sultan Karimun yang menyaksikan kejadian itu didepan mata, terperanjat. Baginda yang tahu tentang kisah seorang putera Kediri yang menghilangkan diri dan kini putera yang diceritakan orang itu berada dihadapannya dengan keadaan lusuh dan tidak terurus. Diburu rasa bersalah dan malu dengan tindakan anakandanya, Tengku Halijah terhadap Radin Mas, lantas baginda mengambil keputusan untuk menebus akan kesalahan itu. Tengku Halijah sebagai tukarannya, menjadi ditawarkan isteri kepada Pangeran Agung!

Pangeran Agung mendiamkan diri. Nampaknya kehidupan sebagai kerabat diraja, yang telah ditinggalkan 15 tahun masih lagi memburunya dan menuntutnya kembali. Tapi apa yang terbayang didepan matanya hanyalah anaknya yang amat dikasihi, Radin Mas. Sebaliknya Radin Mas meminta agar ayahnya menerima akan Tengku Halijah, mengenangkan Pangeran Agung telah lama hidup tanpa isteri dan dirinya sendiri yang melihat peluang itu untuk merasai kasihnya seorang ibu. Mendengarkan akan permintaan anaknya itu, namun dengan berat hati, Pangeran Agung menerima pelawaan Sultan Karimun. Dandiar berpuas hati dengan pelawaan Sultan Karimun dan meminta baginda berjanji untuk menjaga akan Pangeran Agung dan Radin Mas yang amat disanjunginya itu, tambahan pula Dandiar bakal meninggalkan Pulau Karimun.

Janji hanya tinggal janji. Setelah berberapa lama selepas perkahwinan antara Pangeran Agung dan Tengku Halijah, lahirlah seorang bayi lelaki menjadi tanda penyatuan antara mereka berdua dan bayi itu dipanggil Tengku Chik. Tapi, bagi Pangeran Agung, Radin Mas lebih disayangi kerana mengenangkan apa yang terjadi keatas mereka berdua dulu dan Radi Maslah yang satu-satunya tanda cintanya yang masih ada, antara dirinya dan Mas Ayu. Malah, mengatasi akan isterinya sendiri Tengku Halijah. Dan ini, membuahkan cemburu yang membara dihati Tengku Halijah, sebagai seorang isteri yang sepatutnya mendapat perhatian yang sepatutnya dari suami, tapi tidak bagi Pangeran Agung. Dan cemburu ini berubah menjadi racun yang berbisa!

Thursday, June 17, 2010

Radin Mas

Makam Puteri Radin Mas,
Teluk Belangah, Singapura

~Bahagian 1~


Terdapat sebuah permakaman di sebelah utara Singapura, dibahagian bernama Teluk Belangah bernama Makam Puteri Radin Mas. Kisah Radin Mas amat sinonim dengan masyarakat Singapura atau pun paling tidak, pernah mendengar akan cerita ini, sebuah kisah yang menghuraikan hubungan kasih sayang seorang ayah yang sanggup mempertaruhkan segalanya demi anak yang tercinta serta pengorbanan seorang anak untuk ayahnya. Radin Mas, seorang gadis suci serta sorang anak yatim yang terlalu dahagakan kasih seorang ibu, malangnya apa yang didapati hanyalah penganiayaan dan penyeksaan terhadap kedua beranak ini. Dan ini adalah kisahnya....
Kisah bermula di Tanah Jawa, disebuah kerajaan bernama Kediri. Kediri sebuah empayar yang besar dan ketika cerita ini bermula, rakyat jelata Kerajaan Kediri sedang meraikan pertabalan Rajanya yang baru, Kanjeng Ratu Kediri serta permaisurinya, Kanjeng Radin Ratu. Keraiannya amatlah meriah dan besar-besaran dan segala macam perayaan dan acara berlangsung selama berpuluh-puluh hari lamanya. Dan sementara Kanjeng Ratu Kediri berdiri diatas takhta sebagai Raja Besar Kediri, adinda kandungnya Radin Kesumowijoyo dilantik sebagai Pangeran Agung, gelaran kedua terbesar di Keraton (istana) Kediri, dengan gelaran Kanjeng Pangeran Agung Radin Kesumowijoyo Diningrat. Pangeran Agung seorang kacak dan tampan, selain dari dikenali sebagai pahlawan yang gagah perkasa, mengetuai angkatan bala tentera Kediri yang cukup besar, bersama dengan panglimanya yang juga merupakan pengikut setia serta sahabat baiknya Dandiar. Baginda menjadi sanjungan kepada rakyat jelata kerana sifatnya yang merendah diri dan baik hati, selain dari rupa dan kegagahan yang dimilikinya itu.

Namun begitu Pangeran Agung masih belum dipunyai sesiapa, masih menyendiri dan belum mana-mana puteri-puteri raja dapat memenangi hati Pangeran Agung. Kerana itu Kanjeng Ratu Kediri amat gusar hati akan keadaan adindanya itu. Selain dari rasa gusar oleh kekandanya itu, seseorang yang lain juga sentiasa memikirkan Pangeran Agung tetapi bukanlah tentang perasaan yang sama seperti Kanjeng Ratu Kediri sebaliknya hasad dengki dan sakit hati. Kecemburuan yang meluap-luap kerana keadaan dirinya yang tidak dipandang oleh Kanjeng Ratu Kediri untuk dilantik menjadi Pangeran Agung. Mungkin kerana keadaan dirinya yang hanya saudara tiri berlainan ibu maka, Kanjeng Ratu Kediri tidak langsung mempertimbangkan akan peluang bagi dirinya menjadi Pangeran Agung. Orang itu adalah Radin Manosekoro!

Keadaan di Balai Penghadapan Keraton cukup meriah. Para pembesar memenuhi ruang Balai dan dihujung sana adalah singgahsana dimana Kanjeng Ratu Kediri sedang duduk berehat bersama Kanjeng Radin Ratu. Dan disampingnya pula adalah Pangeran Agung sedang melayan perasaan sendiri, tidak sedikit pun memberi perhatian akan acara yang sedang dipersembahkan demi menghiburkan sekelian kerabat diraja dan pembesar. Namun tiba-tiba sesuatu berjaya menarik perhatiannya. Dari keadaan fikirannya yang melayang entah kemana, matanya terarah pada apa yang sedang berlaku di tengah-tengah balai. Malah, bunyi paluan gamelan itu tidak didengari sebaliknya dia terlalu tertarik pada seorang penari yang menari penuh gemalai dan mengasyikkan. Terlalu luar biasa akan kecantikkan gadis itu...
Dan setelah selesai akan acara keraian pada lewat malamnya, gadis penari itu yang bernama Mas Ayu, didatangi seorang utusan yang memintanya untuk hadir di taman larangan keraton. Dan disitu dia bertemu dengan Pangeran Agung yang sedang tersenyum menanti kedatangannya. Mas Ayu terkejut dan tersipu-sipu malu untuk bertemu Pangeran Agung yang selama ini menjadi rebutan kebanyakan para gadis di seluruh Kediri, tetapi kini Pangeran Agung yang menjadi sebutan orang itu sedang berdiri dihadapannya, malah melafazkan kata-kata cinta kepadanya. Sesungguhnya Pangeran Agung telah pun jatuh cinta pada pandangan mata yang pertama kepada Mas Ayu.
Semenjak itu Pangeran Agung akan sentiasa mencari peluang secara senyap-senyap untuk bertemu dan memadu kasih dengan kekasih hatinya Mas Ayu. Ini kerana, dia tahu akan sifat kekanda kandungnya, Kanjeng Ratu Kediri dan Kanjeng Radin Ratu, meskipun adalah pemerintah yang adil dan saksama tetapi baginda amat mementingkan darjat dan kebanggaan keturunannya yang mereka tidak sekali-kali akan membenarkan mana-mana ahli keluarga mereka berkahwin dengan orang dari golongan rakyat biasa. Menyedari akan hakikat itu, Pangeran Agung mengambil keputusan untuk memperisterikan Mas Ayu dengan secara senyap-senyap. Untuk berberapa ketika, mereka terpaksa berpura-pura terutamanya di hadapan Kanjeng Ratu Kediri dan Kanjeng Radin Ratu. Namun bukanlah sesuatu yang sukar untuk mengetahui rahsia itu tambahan pula bagi orang yang memusuhi Pangeran Agung, yang senantiasa mencari peluang untuk menjatuhkannya.

Kanjeng Ratu Kediri amat murka dengan tindakan Pangeran Agung apabila Radin Manosekoro membawa berita akan perkahwinannya dengan Mas Ayu. Namun, walau macam mana marah sekali pun akan Kanjeng Ratu Kediri, itu takkan mengubah pendirian Pangeran Agung. Kasih sayangnya pada Mas Ayu melebihi segalanya dan nampaknya Kanjeng Ratu Kediri terpaksa belajar untuk menerima hakikat itu. Namun tidak bagi permaisuri, Kanjeng Radin Ratu. Tambahan pula Radin Ratu mempunyai hubungan yang rapat dengan Radin Manosekoro, yang sentiasa mempunyai peluang untuk terus-terusan meracuni Radin Ratu.

Keadaan yang memalukan ini tidak patut dibiarkan dan perlu diambil tindakan dengan segera. Maka, Kanjeng Radin Ratu dan Radin Menosekoro merancang sesuatu. Sesuatu yang dapat menjarakkan Pangeran Agung dan Mas Ayu, agar sesuatu dapat dilakukan untuk memisahkan mereka...

Sekali lagi keraian berlangsung di Keraton Kediri, menyambut akan ketibaan tanda cahaya mata Pangeran Agung dan Mas Ayu. Kelahiran Radin Seri Diningrat atau singkatannya Radin Mas membawa seribu sinar kepada kedua mereka. Dengan kelahiran puteri yang comel ini barulah dirasakan cukup lengkap akan ikatan cinta antara Pangeran Agung dan Mas Ayu. Malah kehadirannya di sambut dengan gembira oleh sekelian hamba rakyat.

Pada suatu hari, Pangeran Agung mendapat titah akan Kanjeng Radin Ratu amat berkehendakkan daging kijang dan memintanya untuk mendapatkannya. Maka diiringi oleh berberapa pengikutnya yang setia dan tentunya Dandiar. Pangeran Agung bertolak menuju ke hutan belantara dengan membawa titah Kanjeng Radin Ratu. Namun dihati Mas Ayu berasa amat bimbang untuk melepaskan suaminya itu pergi, tidak seperti sebagaimana dia melepaskan suaminya untuk titah-titah yang lain sebelum ini. Tapi apa yang mampu dilakukannya, hanyalah dipendam didalam hati dan tidak diluahkan kepada Pangeran Agung, supaya suaminya tidak gusar.

Apa yang ditakutkan nampaknya bukanlah semata-mata mimpi buruk sebaliknya titah yang dikeluarkan oleh Kanjeng Radin Ratu adalah satu helah untuk membawa Pangeran Agung meninggalkan istana untuk Radin Manosekoro menjalankan rancangan jahat mereka! Radin Menosekoro mengambil peluang untuk memperkosa Mas Ayu tetapi Mas Ayu cuba untuk menentang. Namun malang baginya, dalam pergelutan demi memelihara kesuciannya itu, Mas Ayu terkorban apabila Radin Manosekoro tertikam akan Mas Ayu. Lantas demi menghilangkan bukti angkaranya itu, Radin Manosekoro bertindak membakar istana Pangeran Agung, dalam keadaan Mas Ayu masih bernyawa demi melindungi puterinya, Radin Mas.

Dalam keadaan yang amat tegang itu, Pangeran Agung pulang dari perburuannya dan amatlah terperanjat melihat akan istananya yang sedang menanti saat untuk terus rebah ke bumi. Namun Pangeran Agung sempat untuk membawa Mas Ayu yang sudah terlalu lemah akan keadaannya, yang sambil memeluk akan Radin Mas. Dalam nafasnya yang terakhir, Mas Ayu berpesan agar Pangeran Agung menjaga Radin Mas sepenuh hati selagi Pangeran Agung masih hidup. Setelah Mas Ayu meninggal dunia, Pangeran Agung mengarahkan agar orang-orangnya mencari Radin Manosekoro dan memerintahkan agar dia dibunuh demi membela akan kematian Mas Ayu.

Pangeran Agung terlalu kecewa dengan apa yang terjadi terhadap keluarganya kerana padanya, Pangeran Agung menganggap yang dia telah dikhianati oleh keluarga sendiri. Apa yang berlaku keatas dirinya membuatkan Pangeran Agung mengambil keputusan untuk memutuskan hubungan dengan sekelian kaum kerabat diraja Kediri malah Pangeran Agung bersumpah

"Kulo (aku) bersumpah, kulo tidak akan kembali ke Kediri lagi, dan kulo haramkan pasir yang melekat dikaki mengikut kulo...."




Tuesday, June 15, 2010

Puteri Gunung Ledang

~Bahagian 2~
Diatas takhta singgahsana Kerajaan Melaka, Sultan Mahmud Syah tersenyum girang apabila menerima kepulangan rombongan peminangan setelah berberapa hari meredah hutan di Gunung Ledang demi menyampaikan hasrat peminangan untuk Puteri Gunung Ledang. Namun apabila mendengarkan sembah dari Tun Mamat tentang syarat-syarat peminangan yang diletakkan oleh Puteri Gunung Ledang sebagai hantaran perkahwinan, Baginda Sultan terdiam sebentar. Didalam benaknya, Baginda berfikir. Melaka sebuah kerajaan yang gagah. Jajahan takluknya menjangkaui hingga seberang Selat Melaka dan sempadan Kerajaan Siam. Luasnya tak terkata dan dipenuhi pula oleh orang cerdik pandai. Dikunjungi pedagang segenap pelusuk dunia dan tak kurang juga pahlawan yang gagah perkasa. Kenapa perlu risaukan tentang tujuh syarat peminangan ini? Berapa banyak raja-raja dan pahlawan-pahlawan tunduk kepada Melaka, inikan pula hanya seorang perempuan?
Pecah khabar diseluruh Kerajaan Melaka yang Sultan Mahmud memerintahkan sekelian hamba rakyat berhempas pula membina jambatan emas dan jambatan perak yang menyambungkan Istana Mahligai dan Gunung Ledang. Seluruh gedung perbendaharaan dikosongkan, seluruh isinya, emas dan perak dilebur untuk digunakan untuk membina kedua-dua jambatan tersebut. Tidak cukup dengan itu, cukai dinaikkan dan hamba rakyat dikerah untuk menyerahkan segala emas dan perak milik mereka. Selain dari itu, para gadis dikerah berkurung didalam kawasan istana dan dipaksa menangis, untuk memenuhi tujuh tempayan antara syarat hantaran tersebut. Sementelah itu sebahagian rakyat dikerah pula untuk mendapatkan buah-buah pinang muda untuk di dapatkan airnya walhal semua orang tahu, pinang muda tidak berair.
Rungutan dan pemberontakan berlaku dimana-mana demi menentang akan penganiayaan yang berlaku, namun, jika dibandingkan dengan pahlawan-pahlawan baginda Sultan, siapalah mereka, hamba rakyat biasa. Meraka hanyalah terdiri dari petani dan pesawah, nelayan dan peniaga-peniaga biasa yang hanya tahu serba sedikit ilmu mempertahankan diri. Tapi pahlawan-pahlawan baginda Sultan berilmu tinggi, gagah perkasa dan kebal pula, masakan tidak, takkanlah sebegitu besar kuasa dan jajahan takluk Kerajaan Melaka?
Mahu atau pun tidak mereka tidak punya pilihan melainkan menurut dan jalankan sahaja titah Baginda Sultan untuk menyempurnakan semua syarat hantaran perkahwinan yang ditetapkan oleh Puteri Gunung Ledang. Hendak jadi berani biarlah bertempat, jika tidak buruk padahnya!
Setahun sudah berlalu dan Sultan Mahmud Syah menjadi semakin berahi dan tidak sabar menantikan lengkapnya sekelian hantaran-hantaran perkahwinan tersebut. Tambahan pula saban malam, Puteri itu muncul didalam mimpinya memanggil-manggil dan membelai Baginda Sultan, memujuk rayu seakan Puteri itu juga seperti Baginda, tidak sabar-sabar untuk bersama Baginda.
Pada suatu hari, Baginda yang sudah tidak sabar-sabar lagi mengunjungi gedung perbendaharaan tempat dimana disimpan segala hantaran yang telah siap. Tersenyum puas baginda melihatkan segalanya hampir sempurna. Berbaloi benar penantian selama lebih setahun ini dan apa yang diimpikan hampir menjadi kenyataan. Dan jambatan emas dan perak berkilauan dipanah cahaya matahari, melingkari bukit dan lembah yang dibina menyambungkan Istana Mahligai dan puncak Gunung Ledang.
Segalanya cukup sempurna tapi....apakan bekas yang masih kosong itu? Soalan itu diajukan Sultan kepada Bendahara. Dan bekas yang kosong itulah sepatutnya dipenuhi syarat hantaran perkahwinan yang terakhir-darah dari zuriatnya sendiri, Raja Ahmad. Pewaris takhta yang tunggal tapi kini....akan menjadi sebahagian dari syarat perkahwinan baginda? Berbaloikah?
Kasih anak yang selama ini ditatang dan dibelai, bakal ditukar ganti dengan kasih seorang perempuan yang selama ini hanya muncul didalam mimpinya?
Ahh.....! Semua yang diusahakan ini takkan lagi menjadi sia-sia! Alang-alang berdakwat, biar sampai hitam, alang-alang menyeluk pekasam biar sampai ke pangkal lengan. Apa yang dah dimulakan, beta akan sudahkan! Puteri Gunung Ledang tetap akan menjadi milik beta! Itulah yang terus mengasak fikiran baginda. Sekali ini baginda nekad....
Menjelang malam, Baginda Sultan Mahmud Syah menyusup masuk ke kamar peraduan anaknya itu, Raja Ahmad. Apabila dihampiri tempat peraduan tersebut dan dilihat oleh baginda akan wajah Raja Ahmad, hati baginda berubah menjadi sayu. Wajah Almarhumah Permaisuri Tun Kecil jelas terbayang....dan sudahnya baginda meninggalkan kamar tersebut.
Pada malam yang kedua, baginda Sultan sekali lagi menyusup masuk ke kamar peraduan Raja Ahmad, dan kali ini keris sudah terhunus di tangannya tapi entah mengapa, sebaik terpandang wajah kecil itu yang sedang tidur lena dan dadanya yang turun naik, baginda terduduk dibirai katil. Keris yang sepatutnya dibenamkan ke dada kecil itu diletakkan ditepi, sebaliknya tangannya mengulas pipi kecil yang mulus itu...dan sekali lagi Baginda berjalan meninggalkan kamar peraduan itu, sambil Raja Ahmad masih sedang lena dibuai mimpi.
Malam ketiga, baginda membulatkan tekad. Malah sebelum dari memasuki kamar peraduan Raja Ahmad lagi, baginda telah mempersiapkan diri dengan keris terhunus ditangan, sementara mangkuk yang bakal dipenuhi dengan darah raja yang masih kecil itu siap tergenggam ditangan kiri. Rancangannya baginda akan terus masuk ke kamar tersebut dan terus membenamkan mata keris tersebut didada kanak-kanak itu. Namun bukan itu yang terjadi! Hanya berberapa inci lagi mata keris itu bakal menyentuhi dada Raja Ahmad, entah dari mana angin yang maha kencang menyerbu masuk ke kamar itu, berpusar-pusar dan bergulung-gulung dihadapan baginda. Baginda Sultan Mahmud terkesima dan terpaku. Dari dalam deruan angin yang kencang itu muncul sesusuk tubuh yang amat dikenalinya...Puteri Gunung Ledang sedang berdiri dihadapannya!
Puteri itu amat murka dan kecewa dengan perilaku Sultan Mahmud. Demi kerana nafsu, baginda menukarkan wajah Kerajaan Melaka yang selama ini dikenali sebagai sebuah kerajaan yang diagungkan dan disegani diseluruh dunia, bertukar, menjadi sebuah kerajaan yang menakutkan dan menggerunkan! Dan kerana gilakan seorang perempuan yang belum tentu budi dan kasihnya, baginda sanggup mengorbankan darah daging sendiri, satu-satunya bakal penyambung zuriat dan keturunan baginda. Dan Puteri Gunung Ledang juga membongkar rahsia disebalik syarat-syarat hantaran perkahwinan. Tidak lain tidak bukan, syarat itu tidak lebih dari kata-kata penolakan secara halus dari Puteri itu.
Seakan satu tirai hitam yang mengaburi pandangan mata baginda hilang sebaliknya baginda seakan dapat melihat satu bentuk kekejaman yang amat hebat sedang berlaku dihadapannya, yang dilalukannya olehnya sendiri. Puteri Gunung Ledang benar-benar telah membukakan mata dan hatinya tentang apa yang dilakukan oleh baginda terhadap rakyatnya, malah lebih buruk lagi penganiayaan yang mungkin berlaku ke atas anaknya sendiri Raja Ahmad. Dan disaat itu juga, cahaya matahari pagi yang memancar menyimbahi wajahnya menyedarkan baginda. Lalu dirangkul tubuh anaknya itu, dipeluk dan dicium mesra.
Baginda amat bersyukur yang baginda masih belum terlajak jauh. Dan setelah dari peristiwa itu, Baginda Sultan Mahmud Syah menginsafi akan keterlajuran kerana ketamakan menurut nafsu baginda yang terlalu menggilai Puteri Gunung Ledang, tapi sebaliknya Puteri Gunung Ledang telah menyedarkan baginda untuk lebih menghargai akan apa yang lebih berhak menerima kasih dan sayang dari baginda. Bukannya bayangan cinta seorang wanita yang hadirnya hanya didalam mimpi. Kerajaan Melaka kembali aman dan sentosa, makmur dan terus kekal sebagai sebuah kerajaan agung.
Dan, Gunung Ledang terus kekal megah berdiri, hingga ke hari ini, terus-terusan diselubungi awan berarak dan kabus saban waktu dan hari. Hingga kini cerita dan kisah mengenai seorang puteri yang cantik jelita yang mendiami puncaknya, masih kekal dan pastinya akan terus abadi hingga ke akhir zaman....

Monday, June 14, 2010

Puteri Gunung Ledang

Gunung Ledang, Muar, Johor
~Bahagian 1~

Setiap rakyat Malaysia pada hari ini, boleh dikatakan mengetahui akan lagenda yang satu ini, Puteri Gunung Ledang. Gunung Ledang, sebuah gunung yang terletak di sempadan daerah Muar, Johor dan Melaka dan kini menjadi lokasi terkenal sebagai destinasi pelancongan. Namun lagenda mengenai seorang puteri yang cantik jelita yang menjaga gunung tersebut, yang sehingga kini dipercayai masih mendiaminya terus menyelubungi gunung tersebut.

Sultan Mahmud Syah, Sultan Melaka yang kelapan pada ketika itu baru sahaja kemangkatan permaisurinya, Tun Kecil dan meninggalkan bakal pewaris takhta, Raja Ahmad yang masih kecil. Hibanya tidak terkata mengenangkan isteri yang telah tiada meskipun baginda mempunyai isteri-isteri yang lain, Tun Teja puteri dari Pahang serta Puteri Onang Kening, anakanda Sultan Mansur Syah dari Kelantan. Tetapi hatinya masih sunyi terasa seakan Istana Mahligai yang didiaminya itu terlalu kosong dan tidak berpenghuni. Keadaan ini membuatkan baginda sudah berberapa hari tidak menjengah Balai Rong Seri untuk bertemu para pembesar negeri. Ini amat menggusarkan hati para pembesar terutamanya Bendahara Tun Perpatih Sedang dan Laksamana Hang Tuah, dua pembesar yang amat dihormati dan berpengaruh di istana Melaka.

Namun apa yang berlaku pada suatu malam merubah segalanya apabila baginda bermimpikan seorang perempuan yang terlalu cantik paras rupanya muncul dan berasyik masyuk dengan baginda. Terlalu luar biasa akan rupa perempuan itu, membelai dan menggoda baginda sehinggakan baginda seakan tidak mahu langsung terjaga dari mimpinya. Menjelang matahari memancar di ufuk timur, segera baginda menitahkan agar dipanggil nujum istana dan lalu ditanyakan, siapakan perempuan tersebut yang muncul didalam mimpinya itu. Lalu dari telus tilikan sang nujum, lalu dikhabarkan, perempuan itu adalah Puteri Gunung Ledang, penjaga Gunung Ledang yang telah mendiami gunung tersebut sejak ratusan tahun yang lalu. Selama ini baginda hanya mendengar akan cerita orang mengenai puteri itu tetapi melalui mimpinya itu, baharulah baginda tahu yang puteri itu terlalu cantik orangnya.

Titah baginda menggemparkan istana, Sultan Mahmud berkehendakkan puteri itu dan dijadikan Permaisuri. Titah itu seakan mustahil tetapi titah tetaplah titah, yang juga mustahil untuk dibantah. Puteri Gunung Ledang akan dilamar dan akan menjadi Permaisuri Melaka. Jika benar puteri itu menerima pinangan baginda, bertambah gahlah Kerajaan Melaka, yang sultannya beristerikan seorang puteri dari kayangan. Maka, sebuah rombongan peminangan diadakan, diketuai oleh Laksamana Hang Tuah sendiri yang pada ketika itu telah pun tua, diiringi oleh Sang Setia serta ketua orang Inderagiri bernama Tun Mamat, yang dikatakan mahir dengan selok-belok didalam hutan. Segala hantaran peminangan disiapkan untuk dipersembahkan kepada Puteri Gunung Ledang, dengan harapan puteri itu bakal menerima pinangan baginda.
Maka menjelang subuh sesudah rombongan tersebut mengerjakan solat di Masjid Istana, mereka berangkat menuju ke arah selatan, dimana Gunung Ledang dikatakan terletak. Setelah berberapa hari berjalan kaki meredah hutan, rombongan itu yang dianggotai oleh Laksamana Hang Tuah, Sang Setia, Tun Mamat dan berberapa orang pengiring kini dapat merasakan perubahan cuaca disekeliling mereka. Udara dirasakan semakin sejuk dan dingin dan tahulah oleh mereka yang kini mereka sedang menaiki gunung tersebut.
Mungkin para pengiring yang lain masih gagah untuk meneruskan perjalanan ini untuk bernerapa hari lagi, tetapi ini menjadi tugas yang agak sukar bagi Hang Tuah. Hang Tuah ini bukanlah lagi Hang Tuah yang dulu terkenal dengan kegagahannya, menumpaskan Hang Jebat yan derhaka. Membinasakan pahlawan Jawa, Taming Sari dan membolot kerisnya yang kini tersisip di pinggangnya. Hang Tuah ini telah pun dimakan masa, yang kini berada diambang senja. Terlalu penat dan lemah untuk terus mendaki gunung yang gagah dan angkuh ini.
Dan keadaannya ini disedari oleh Tun Mamat. Risau benar dia melihat keadaan Laksamana tua itu yang kelihatan teramat lelah dan tercungap-cungap. Akhirnya, pada suatu tempat perhentian di pertengahan jalan ke puncak gunung, Tun Mamat mengusulkan biarlah dia sahaja dan pengiring yang lain meneruskan perjalanan. Sementara Sang Setia akan menemani Laksamana di pertengahan jalan. Tapi, ini terlalu sukar bagi Laksamana ini untuk menerima usul dari Tun Mamat itu. Diakan Laksamana, selama ini mana pernah titah dan tugas dari Baginda Sultan gagal disempurnakan? Dia adalah Hang Tuah, pahlawan teragung Kerajaan Melaka. Tapi...kini, keadaan dirinya benar-benar menyedarkan dia sebenarnya hanyalah manusia biasa yang punya kudrat dan fitrah yang terhad.
Dengan berat Laksamana Hang tuah terpaksa mengiakan akan cadangan Tun Mamat itu. Laksamana Hang Tuah yang terkulai lemah di banir sebatang pokok besar , sambil ditemani Sang Setia, memerhatikan dengan rasa kecewa sebaik Tun Mamat dan pengikut-pengikut yang lainnya mula mengorak langkah menuju ke puncak gunung hingga hilang dari pandangan mata. Senja mula menjengah hari. Sudah terasa agak lama berjalan mendaki semenjak meninggalkan Laksamana Hang Tuah dan Sang Setia. Dan udara bertambah menggigit sejuknya. Namun, Tun Mamat mula menyedari kelainan akan keadaan hutan disekeliling mereka. Mereka tidak lagi dikelilingi oleh pepohon hutan yang besar mahupun akar rotan yang berselirat disana sini, sebaliknya, muncul rimbunan pokok bunga yang pelbagai warna dan rupa. Malah udara yang mereka hirup bukan setakat dingin dan sejuk malah berbau harum pula.
Tun Mamat merasai keanehan itu. Mereka tidak lagi berada disebuah hutan belantara sebaliknya disebuah taman yang terlalu indah. Lagi anehnya, suara merdu nyanyian bersyair dan gurindam mendayu-dayu disana sini. Namun apa yang benar-benar menarik perhatian Tun mamat dan engiringnya adalah apa yang berada nun dihujung taman, berada diatas puncak sebuah bukit kecil. Terdapat sebuah balai kecil yang menjadi pusat kepada taman tersebut dan apa yang menariknya tentang balai itu, ia dibina dari tulang manusia dan berbumbungkan rambut!
Dan kedengaran suara-suara perempuan sedang bergurau senda dari arah itu, lantas membawa langkah Tun Mamat menghampirinya. Apabila telah benar-benar berada diperkarangannya, dapat dilihat seorang perempuan tua bersama berberapa orang perempuan lain sedang duduk bergurau senda. Tapi, sebaik menyedari akan seorang lelaki asing menghampiri balai itu, gurau senda dan bualan mereka terhenti serta merta. Pandangan mata mereka terpaku kepada kehadiran Tun Mamat yang sedang menanti di muka tangga balai tersebut.
Tun Mamat memperkenalkan dirinya sebagai utusan dari Sultan Mahmud Syah, Sultan Melaka yang membawa titah peminangan dari Baginda untuk Puteri Gunung Ledang. Sebaik mendengar akan kata-kata Tun Mamat itu, lantas perempuan tua itu memperkenalkan diri bahawa, beliau adalah Dang Raya Rani, ketua dayang-dayang istana Puteri Gunung Ledang, dan gadis-gadis lain yang bersamanya adalah dayang-dayang baginda. Setelah akan mendengar hajat Tun Mamat itu, Dang Raya Rani meminta untuk berlalu supaya kehadiran Tun Mamat dapat dipersembahkan kepada Puteri Gunung Ledang.
Hinggalah menjelang tengah malam, masih belum muncul Dang Raya Rani itu. Entahkan ya entahkan tidak, mereka itu dayang-dayang Puteri Gunung Ledang, perasaan curiga mula bercambah dihati Tun Mamat dan pengiring-pengiringnya. Tetapi, tiba-tiba, dari celah-celah rimbunan pohon yang membanjiri taman tersebut, muncul seorang nenek tua. Tapi nyata, yang ini, bukanlah Dang Raya Rani yang dilihatnya petang tadi. Sebaliknya nenek tua ini sudah pun bongkok tiga hingga seakan terlipat belakangnya. Dia berjalan menghampiri Tun Mamat yang mula berdiri di tangga balai sebaik menyedari kemunculan nenek tua itu.
Tanpa memberi peluang untuk Tun Mamat memperkenalkan diri, nenek tua itu seraya berkata yang beliau membawa titah dari Puteri Gunung Ledang, yang baginda menerima akan lamaran baginda tapi Baginda Sultan perlu memenuhi syarat-syarat tertentu sebagai hantaran perkahwinan iaitu
"Sebuah jambatan emas yang dibina dari istana Melaka hinga ke puncak Gunung Ledang, sebuah jambatan perak yang dibina dari puncak Gunung Ledang hingga ke istana Melaka, tujuh dulang hati nyamuk, tujuh dulang hati kuman, tujuh tempayan air mata anak dara, tujuh tempayan air pinang muda dan semangkuk darah Raja Muda"
Terbeliak mata Tun Mamat mendengar akan syarat-syarat tersebut tetapi dia sebaik mungkin cuba menyembunyikan perasaan itu. Kalau difikir dan diamati, semua syarat itu semuanya mustahil untuk dipenuhi, dan kalau benar pun, ia tentu mengambil masa bertahun-tahun untuk disempurnakan...
Sepanjang malam selepas nenek tua itu menghilangkan diri, sepatutnya setelah penat seharian mendaki gunung, pastinya mudah untuk melelapkan mata, mencari kembali tenaga sebelum mendaki turun menjelang subuh esok. Tapi tidak bagi Tun Mamat. Pelbagai perkara bermain difikirannya, tentang taman bunga dipuncak gunung, tentang balai tulang itu, tentang Puteri Gunung Ledang dan tentunya tentang syarat-syarat aneh tersebut....
Entahkan bila matanya terlelap, Tun Mamat sendiri tidak sedar. Menjelang matahari mula memancar, Tun Mamat bersama pengiring-pengiring dan barang hantaran yang sepatutnya dipersembahkan kepada Puteri Gunung Ledang, mula mengorak langkah mendaki turun dari puncak gunung. Mereka akan bertemu kembali Laksamana Hang Tuah dan Sang Setia di tempat dimana mereka ditinggalkan semalam.
Laksamana Hang Tuah menunduk apabila mengenangkan syarat-syarat yang dinyatakan oleh Tun Mamat. Dalam diam, Laksamana tahu akan maksud yang tersirat disebalik syarat yang dinyatakan oleh Puteri Gunung Ledang. Dan demi itu juga, Laksamana tua itu juga sedar, dia telah gagal. Gagal menjalankan titah Baginda Sultan dan ini tidak bermakna lagi bagi dirinya untuk pulang ke Melaka, menyembah Baginda Sultan. Maka sebaik sahaja rombongan peminangan itu tiba di kaki Gunung Ledang dimana terletaknya sebatang anak sungai, Hang Tuah berpesan kepada Tun Mamat
"Seandainya sungai ini bermuarakan Sungai Melaka, nescaya hamba akan muncul di Melaka, tapi seandainya tidak, nescaya hamba telah pun tiada. Sesungguhnnya khabarkan kepada Baginda Sultan hamba telah gagal menjalankan titah dan berasa amat aib untuk mengadap Baginda"
Setelah menyerahkan Keris Taming Sari kepada Tun Mamat untuk diserahkan kembali kepada Sultan Mahmud, Hang Tuah mencecahkan kakinya ke air sungai tersebut dan meranduk airnya hingga hilang dari pandangan sekelian ahli rombongan tersebut...Semenjak itu tidak lagi didengari sebarang khabar berita dari Laksamana yang banyak jasanya itu.