Sunday, September 26, 2010

Puteri Saadong

Gunung Chinta Wangsa yang kini dikenali sebagai
Gunung Ayam


~Bahagian Satu~

Berapa ramai antara kita yang mengetahui akan nama lama bagi negeri Kelantan Darul Naim? Pernahkah anda mendengar Kerajaan Tanah Serendah Sekebun Bunga Cerang Tegayong? Nama yang menggambarkan akan sebuah kerajaan yang terlalu indah, dikelilingi gunung dan banjaran, serta kawasan lembah yang dipenuhi bunga-bungaan yang pelbagai bentuk dan rupa. Cerang Tegayong pula memberi makna cahaya yang menyimbahi di celahan dedauan pohon tegayong. Begitulah keindahan yang digambarkan melalui nama lama itu
Demikianlah juga akan gambaran pemerintahnya, Chik Siti Wan Kembang, juga dikenali juga Paduka Chik Siti. Satu satunya Raja Perempuan yang sangat dikenali demi kewibawaan baginda, keadilan yang menjadi teras pemerintahannya, kebijaksaan serta keperwiraan baginda walaupun baginda adalah seorang wanita, menjadikan nama Paduka Chik Siti begitu gah dan melata tersebar akan kisahnya di serata rantau Nusantara, dan kerajaannya yang berpusat di Gunung Chinta Wangsa dipenuhi rakyat jelata yang tidak terkira banyaknya. Berikut kerana itu, terdapat cerita orang, pedagang-pedagang yang datang berdagang ke Kelantan, enggan untuk meninggalkan negeri itu, hingga sanggup menenggelamkan kapal masing-masing untuk dijadikan alasan supaya dapat terus kekal di Kelantan. Demikianlah diceritakan orang....


Tersebut pula akan sebuah kerajaan yang berjiran dengan Tanah Serendah Sekebun Bunga itu, bernama Jembal, terletak di bahagian timur lautnya. Yang mana pada ketika itu dalam tahun 1638 Masehi, Raja Besar telah menyerahkan takhta kepada anakandanya, Raja Sakti dan Raja Sakti dikurniakan tujuh orang putera-puteri, iaitu Raja Adiluddin (yang lebih dikenali dengan nama Raja Loyar), Raja Bahar (Raja Udang), Raja Omar (Raja Ekok), Raja Sungai, Puteri Sayu Bari, Puteri Unang Melor (nama timang-timangannya Nang Rogayah) dan Puteri Cempaka Bongsu. Mengikut buku Abdullah Nakula, Raja Sakti terkenal dengan panggilan Raja Vijaya Indera atau Long Betong.


Setelah Raja Sakti merasa dirinya sudah tua dan putera-puteri baginda meningkat dewasa Raja Sakti telah menyerahkan pentadbiran negeri kepada mereka semua. Pada tahun 1649 M, Raja Loyar ditabalkan sebagai raja yang memerintah kerajaan Jembal. Raja Bahar dilantik sebagai Bendahara, Raja Omar sebagai Raja Muda dan Raja Sungai sebagai Raja Temenggung. Setelah menyerah semua pemerintahan Kerajaan Jembal, maka baginda Raja Sakti pun mengadakan "Istiadat Bersiram" di pinggir Sungai Babong, yang mana keramaiannya berlangsung selama 7 hari 7 malam, setelah sampai malam ke-7 maka baginda Raja Sakti dan Puteri Mani Kemeyan pun "ghaib" dan tidak diketahui riwayatnya sehingga hari ini. Raja Loyar sangat dikasihi oleh semua lapisan rakyat jelata dan para pembesar negeri. Sikap baginda sangat luar biasa, lemah lembut, halus tutur kata dan bersopan santun. Mengikut kepercayaan, pada diri baginda terdapat sifat-sifat ganjil yang kononnya baginda berdarah putih, tulang tunggal, bulu roma songsang, lelangit hitam, lidah fasih dan air liur masin. Pendek kata apa yang dihajati semuanya dapat kerana baginda adalah seorang yang "keramat".


Hubungan baik terjalin antara kerajaan Jembal dan Kelantan sementelah Kelantan sebuah kerajaan yang gagah perkasa. Perutusan senantiasa bertukar tangan demi perhubungan yang baik itu hinggalah dibawah pemerintahan Raja Loyar yang menggantikan ayahandanya. Raja Loyar telah dikurniakan dua cahaya mata yang mana, seorang lelaki dinamakan Raja Sakti, demi mengenangkan nendanya tapi malang telah mangkat ketika masih kecil, dan kedua pula seorang perempuan dinamakan Puteri Mariam, yang mana lebih dikenali sebagai Puteri Saadong. Paduka Chik Siti yang amat tertarik dengan perilaku dan rupa Puteri Saadong itu telah berhasrat untuk mengambil Puteri Saadong sebagai anak angkatnya dan juga bakal pewaris takhta, kerana Paduka Chik Siti itu tidaklah bersuami dan tidak mempunyai sebarang anak . Hasrat itu disuarakan kepada Raja Loyar dan seakan seribu rahmat, hajat Paduka Chik Siti diperkenankan oleh Raja Loyar. Puteri Saadong dan Paduka Chik Siti pun berangkat pulang ke Gunung Chinta Wangsa dan bersemayam disana. Sebagai tanda kasih sayang seorang ibu, Paduka Chik Siti memerintahkan para pembesar dan hulubalang mendapatkan dua ekor kijang untuk dijadikan belaan dan teman permainan Puteri Saadong dan dari situlah menjadi lambang pada jata negeri Kelantan yang kekal hingga ke hari ini.


Puteri Saadong membesar, dididik dan diasuh dengan penuh limpahan kasih sayang dari bondanya dan sebagai bakal pewaris takhta. Selain dari itu kejelitaan rupa paras membawa kepadanya gelaran Puteri Wijaya Mala dan kerana itu jugalah nama Puteri Saadong sangat-sangat terkenal, seperti bondanya, Paduka Chik Siti. Kecantikan Puteri Saadong ini termasyhur ke seluruh negeri sehingga sampai ke pengetahuan Maharaja Siam iaitu Raja Prasat Thong yang memerintah di Ayudhia. Baginda telah menghantar utusan ke Jembal untuk meminang Puteri Saadong. Setelah Raja Loyar berbincang dengan Paduka Chik Siti, maka pinangan Raja Siam itu telah ditolak. Setelah rombongan Siam itu kembali, baginda Raja Loyar dan Cik Siti Wan Kembang berserta pembesar-pembesar telah bermesyuarat untuk mengahwinkan Puteri Saadong dengan sepupunya Raja Abdullah iaitu anakanda Raja Bahar.